+603 2161 5948    wecare@reefcheck.org.my
 

kosmo-logo

 

 

 

BOT gentian kaca yang dinaiki kru Jurnal masih terumbang-ambing walaupun sauh sudah dilabuhkan ke bawah permukaan air.

Air laut yang tenang kelihatan seperti cermin memantulkan kembali rona hijau kebiruan langit yang cerah pada pagi itu. Belum sampai lima minit, ikan-ikan kecil sebesar tapak tangan berenang-renang mengelilingi bot.

Dalam kejernihan riak-riak air memukul badan bot, mata menyorot panorama dasar laut yang menyajikan pemandangan terumbu karang yang mempesonakan.

Ternyata keindahan Pulau Redang, Terengganu yang terkenal dengan keindahan khazanah lautnya kini terbentang di depan mata.

"Kalau cuaca panas dan laut tenang, batu karang akan nampak lebih cantik dan jelas," ujar budak pantai atau beach boy, Mohd. Fairul Afizan Jusof, 27.

Bagaimanapun, dia yang lebih mesra disapa Joe mengakui keindahan terumbu karang Pulau Redang tidak secantik dahulu.

Merupakan anak jati pulau itu, Joe yang menjalankan perniagaan perkhidmatan bot, snorkeling dan jelajah pulau memberitahu, kebanyakan terumbu karang di situ sudah mati dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Menurutnya, pemutihan warna terumbu karang itu terjadi secara perlahan-lahan sejak beberapa tahun lalu.

"Semasa saya kecil, dasar laut di sini sangat indah dengan pemandangan batu karang beraneka warna.

"Dahulu warnanya terang dan sangat cantik tetapi kini kebanyakannya berwarna putih menandakan ia sedang sakit. Selain itu, banyak juga yang sudah bertukar kepada warna kelabu yang menunjukkan ia sudah mati," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Paling buruk

Joe yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam aktiviti pantai berpendapat, sikap manusia yang sesuka hati memijak terumbu karang menyebabkan khazanah laut itu semakin musnah.

Selain itu, fenomena El Nino yang dijangka melanda Malaysia pada bulan ini sehingga Ogos depan juga menjadi salah satu faktor kepada masalah berkenaan.

Pada tahun 1998, fenomena itu menyebabkan air laut mengalami kenaikan suhu secara mendadak.

KEMATIAN koloni terumbu karang berpunca daripada kombinasi aktiviti pencemaran, penangkapan ikan melampau dan pemanasan global.
 
Menurut Bank Dunia, pemanasan air laut itu mencatatkan suhu paling tinggi dalam sejarah sekali gus menyaksikan kejadian pelunturan terumbu karang paling buruk pernah direkodkan.

Dilaporkan, sebanyak 16 peratus terumbu karang dunia pupus akibat fenomena cuaca itu.

Kawasan khazanah laut terbesar dunia, Great Barrier Reef yang terletak di Australia juga tidak terkecuali apabila sebanyak 10 peratus terumbu karang di bahagian tengah dan utara kawasan itu musnah.

Kemusnahan kawasan seluas 345,000 kilometer persegi itu juga memberikan kesan kepada pasaran pelancongan yang bernilai AS$3.68 bilion (RM11.8 bilion) setahun. Taman laut itu dianggarkan lebih besar daripada negara Malaysia.

Tidak terhenti di situ, pada Julai 2010, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, menerusi Jabatan Taman Negara Malaysia mengambil keputusan menutup sebanyak 12 lokasi pelancongan berikutan kejadian pelunturan terumbu karang akibat fenomena pemanasan global.

Penutupan selama lebih empat bulan itu meliputi sembilan taman laut dan tiga pulau di Kedah, Terengganu dan Pahang termasuk Pulau Redang, Pulau Payar dan Pulau Tioman.

Fenomena yang menunjukkan tanda-tanda karang tertekan dan mungkin akan mati itu semakin meluas.

Ancaman

Terbaharu, Jabatan Taman Laut Malaysia mendapati terumbu karang di pulau-pulau antara yang tercantik di Malaysia iaitu Pulau Redang, Taman Laut Pulau Payar, Kedah; Taman Laut Pulau Tioman, Pahang dan Taman Laut Pulau Aur, Johor mengalami ancaman tekanan haba dengan suhu permukaan laut antara 30 hingga 32 darjah Celsius.

Perkara tersebut diketahui melalui kaji selidik Jawatankuasa Respons Pelunturan terumbu karang sejak Mac tahun ini bagi mengesan kejadian pelunturan.

SUHU optimum antara 21 hingga 29 darjah Celcius diperlukan untuk pertumbuhan terumbu karang.
 

"Pemantauan ini berdasarkan laporan Program Pemerhatian Batu Karang Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat yang mengeluarkan amaran pelunturan karangan yang dikenali sebagai Bleaching Watch bagi Taman Laut Pulau Redang pada 17 April tahun ini," kata Pengarahnya, Dr. Sukarno Wagiman.

Menurutnya, suhu permukaan laut di sekitar negara ini melebihi paras biasa iaitu antara 28 hingga 29 darjah Celsius.

Hal ini akan menyebabkan pelunturan karang sekiranya keadaan tidak kembali seperti sediakala dalam masa beberapa minggu.

"Terumbu karang kita mengalami antara 5 hingga 10 peratus kerosakan apabila berlaku pelunturan.

"Ia seterusnya bakal menjadi ancaman besar terhadap kesihatan terumbu karang. Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan terhadap biodiversiti marin, perikanan terumbu karang dan pelancongan di Malaysia," ujar Sukarno.

Kaji selidik Reef Check Malaysia pada tahun 2013 menunjukkan liputan batu karang hidup di perairan Malaysia ialah sebanyak 48.33 peratus, berbanding 49.96 peratus pada tahun 2009.

Bagi Pengerusi Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Che Abd. Rahim Mohamed, pelunturan batu karang berpunca daripada kombinasi aktiviti pencemaran, penangkapan ikan melampau dan perubahan suhu persekitaran.

Koloni

Pemutihan terumbu akibat pemanasan global misalnya terjadi apabila ia bertindak balas terhadap tekanan seperti sinaran matahari yang lebih kuat daripada biasa selain peningkatan suhu laut.

Menurutnya, hidupan marin itu memerlukan suhu optimum iaitu 25 hingga 29 darjah Celsius untuk hidup dan membiak.

SEBAHAGIAN kawasan terumbu karang di Great Barrier Reef, Australia musnah akibat fenomena El Nino pada tahun 1998.

Malah, dengan kenaikan 1 darjah Celcius sahaja sudah cukup untuk menyebabkan polips atau mikroorganisma pada terumbu karang itu terdedah kepada toksin.

"Apabila terjadi peningkatan suhu, alga mikroskopik yang hidup di dalam tisu polips akan disingkirkan. Apabila ia menghilang, terumbu karang bertukar menjadi putih.

"Pemutihan ini dapat diterbalikkan memandangkan polips boleh hidup tanpa zooxantela untuk satu jangka masa pendek. Namun, jika stres yang dialami polips ditambah dengan tekanan lain, ia akan mati kelaparan," jelasnya.

Bertutur lanjut, kata Che Abd. Rahim, terumbu karang mengambil masa yang sangat lama untuk tumbuh.

"Karang keras atau hard coral misalnya hanya tumbuh pada kepanjangan 1 milimeter (mm) setahun berbanding karang lembut (soft coral) 1mm sebulan.

"Koloni mikroorganisma itu mengambil masa beratus-ratus tahun untuk membentuk struktur-struktur yang dapat dilihat pada hari ini.

"Menyentuh batu karang untuk melihat rupa bentuknya boleh menyebabkan kematian koloni secara menyeluruh. Ini kerana minyak daripada kulit manusia boleh mengganggu membran halus pada terumbu karang yang berfungsi melindungi hidupan laut itu daripada penyakit," jelasnya.

Source: KOSMO!

reefcheck-logo-75

Reef Check Malaysia (RCM) is a non-profit organisation that was registered in 2007 to engage with the local community to raise awareness for the importance of, and threats to, coral reefs.

Newsletter

Subscribe to our quarterly newsletter.

captcha  

Contact Us

Reef Check Malaysia
Suite 5.19-5.22, Box 606, Wisma Central, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia

+603 2161 5948