KUALA LUMPUR, 22 JANUARI 2026 – Laporan Tinjauan Tahunan 2025 Reef Check Malaysia menunjukkan bahawa kesihatan terumbu karang Malaysia terus mengalami kemerosotan. Penemuan ini adalah berdasarkan data yang dikumpul menggunakan metodologi standard global Reef Check dan hasil tinjauan yang dijalankan di 297 lokasi di seluruh negara oleh pasukan Reef Check Malaysia.
Penemuan tersebut menunjukkan bahawa terumbu karang yang ditinjau mempunyai tahap karang hidup “sederhana” iaitu pada 39.94% dan menurun daripada 44.65% pada tahun 2024.
“Purata nasional litupan karang hidup menurun daripada kira-kira 44.65% pada 2024 kepada 39.94% pada 2025. Ini bermakna kehilangan 5 mata peratusan, atau kira-kira 10% litupan karang dalam tempoh satu tahun sahaja,” kata Julian Hyde, Ketua Pegawai Eksekutif Reef Check Malaysia.
Kesihatan terumbu karang dipantau melalui metodologi tinjauan Reef Check.
“Berdasarkan data terdahulu, litupan karang hidup adalah sekitar 50% pada tahun 2022. Ini bermakna kita telah kehilangan kira-kira 10 mata peratusan, atau sekitar 20% litupan karang sejak 2022.”[1]
“Kita telah kehilangan litupan karang bersamaan 47,250 padang bola sepak dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini,”[2] tegas Hyde.
Reef Check Malaysia mengaitkan kemerosotan berterusan ini dengan beberapa faktor, termasuk Fenomena Kelunturan Karang Global Ke-4 pada tahun 2024, serta pelancongan tidak lestari, pencemaran, serta aktiviti penangkapan ikan yang merosakkan.
Tinjauan juga menunjukkan bahawa kebanyakan populasi ikan penunjuk dan invertebrat kekal rendah, termasuk di Kawasan Perlindungan Marin, di mana perlindungan sepatutnya membantu pemulihan populasi.
Tahap gangguan yang tinggi direkodkan di banyak kawasan terumbu:
- 50% lokasi terjejas oleh sampah
- 80% oleh peralatan dan jaring pancing terbuang
- 50% mengalami kerosakan akibat bot atau sauh
- Kelunturan karang direkodkan di 50% lokasi ditinjau
Di Sabah, 33.33% lokasi yang ditinjau menunjukkan kerosakan akibat aktiviti pengeboman ikan.
“Penemuan ini penting kerana terumbu karang amat kritikal kepada pekerjaan dan keselamatan makanan komuniti pesisir,” jelas Hyde. “Bersama-sama ekosistem bakau dan rumput laut, terumbu karang membentuk sistem pembiakan ikan yang menyokong stok ikan yang menjadi sumber utama nelayan berskala kecil.”
“Terdapat anggaran yang menunjukkan terdapat sekitar 140,000 nelayan berskala kecil di Malaysia. Ini bermakna puluhan ribu isi rumah bergantung kepada perikanan pesisir untuk makanan dan pendapatan, dan kelangsungan hidup mereka bergantung secara langsung kepada ekosistem marin yang sihat,” tambah beliau.
“Tidak dilupakan, terumbu karang juga merupakan produk pelancongan yang penting. Menurut beberapa sumber, sektor pelancongan menyumbang sekitar 15% kepada KDNK dan 25% peluang pekerjaan di Malaysia,” kata Hyde.
Susulan penemuan ini, Reef Check Malaysia menyeru agar perlindungan terumbu karang dipertingkatkan dengan memberi tumpuan kepada pengurangan tekanan tempatan serta memperkukuh peranan komuniti setempat.
[1] Pengurangan Litupan Karang Hidup (LCC) daripada 50% kepada 40% bersamaan dengan penurunan sebanyak 10 mata peratus; namun apabila dinyatakan sebagai peratusan daripada LCC asal, penurunan 10 mata peratus ini sebenarnya mewakili pengurangan sebanyak 20% daripada LCC asal iaitu 50%.
[2] Keluasan terumbu karang di Malaysia dianggarkan sebanyak 1,687 km². Kehilangan sebanyak 20% sejak tahun 2022 bersamaan dengan keluasan 337.4 km², atau 33,740 hektar. Saiz purata sebuah padang bola sepak ialah 0.714 hektar. Oleh itu, keluasan 33,740 hektar adalah bersamaan dengan kira-kira 47,250 buah padang bola sepak.
Penyingkiran pukat hantu oleh Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (CMCG) bagi mengurangkan impak terhadap terumbu karang.
Organisasi ini menggalakkan kerajaan untuk mengamalkan pendekatan pengurusan bersama, yang melibatkan komuniti setempat dalam pengurusan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) di Malaysia secara formal.
Reef Check Malaysia juga menekankan kepentingan membina ketahanan ekologi dan ekonomi.
“Ketahanan merupakan pendekatan berasaskan sains dalam perlindungan terumbu karang. Dengan mengurangkan impak tempatan, kita memberi peluang terbaik kepada terumbu karang untuk menahan tekanan luaran berskala besar, seperti perubahan iklim.”
“Pada masa yang sama, komuniti yang berdaya tahan mempunyai sumber pendapatan yang pelbagai dan tidak bergantung sepenuhnya kepada terumbu karang, sekali gus membantu mengurangkan tekanan terhadap terumbu, terutamanya daripada aktiviti pelancongan,” jelas Hyde.
Selain itu, organisasi ini menggalakkan kerajaan mempertimbangkan peralihan ke arah model pelancongan lestari, dengan meninggalkan pelancongan besar-besaran dan mengutamakan amalan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kami bukan menentang pelancongan. Kami menyokong pelancongan lestari,” tegas Hyde.
Reef Check Malaysia juga menggalakkan orang ramai untuk menyokong, dan jika berpeluang, menerajui usaha advokasi bagi memperkukuh perlindungan terumbu karang dan ekosistem marin Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai Reef Check Malaysia, sila layari laman web, Facebook dan Instagram mereka, atau hubungi hello@reefcheck.org.my
-TAMAT-









